Home » » Kawal pembiakan aedes bagi kekang virus Zika

Kawal pembiakan aedes bagi kekang virus Zika

Written By kelantan post on Thursday, 4 February 2016 | 10:59


Kawalan terhadap pembiakan nyamuk aedes akan menjadi tumpuan utama Kementerian Kesihatan bagi mengekang penyebaran virus Zika di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, ini kerana nyamuk itu dikenal pasti sebagai vektor atau pembawa virus ber­kenaan.

Beliau berkata, usaha mencegah penyebaran virus itu juga berha­dapan dengan cabaran memandang­kan sebahagian besar mereka yang dijangkiti tidak menunjukkan simptom seperti virus lain.
“Kami telah berbincang me­ngenai beberapa langkah untuk me­ngawal masalah ini tetapi yang akan menjadi tumpuan utama ialah sama seperti denggi iaitu kawalan pembiakan aedes kerana ia akan membantu mengurangkan risiko denggi dan Zika.

“Kawalan penyakit ini juga agak sukar kerana 50 peratus yang ada virus ini tiada simptom dan sama seperti mereka yang sihat,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Kesedaran Kalori di R&R (kawasan rehat dan rawat) dan Lebuh Raya di R&R Se­remban (Arah Selatan) dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Semalam, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan peningkatan kelahiran bayi cacat di Amerika Selatan dipercayai berpunca akibat penyebaran virus Zika, sekali gus membentuk pasukan kecemasan kesihatan antarabangsa.

Ketua Pengarah WHO, Margaret Chan berkata, virus Zika yang dibawa oleh nyamuk boleh menyebabkan bayi lahir dalam kea­daan cacat dengan memiliki saiz kepala dan otak yang kecil.
Subramaniam berkata, kementeriannya akan mengeluarkan garis panduan lengkap berkaitan kawalan dan pencegahan virus Zika dalam tempoh satu atau dua hari lagi.

Jelasnya, satu mesyuarat oleh para pegawai kanan kementerian itu telah diadakan hari ini berikutan pengisytiharan WHO tersebut.

“Nasihat terbaik pada masa ini adalah elakkan daripada mengunjungi Amerika Selatan manakala mereka yang baru kembali boleh memaklumkan kepada pihak berkuasa berkaitan,” ujarnya.
Beliau memberi jaminan bahawa penularan virus Zika dipandang serius oleh kerajaan dan tindakan terbaik akan dilakukan untuk me­ngawalnya.

powered by iRdK
~ page Irdk FM sumber hiburan dan informasi terkini
~ website http://irdknews.blogspot.my/
~ fb group IRDK (kelantan) Breaking News & Daily Traffic Information


Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. IRDK News - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger