Home » » Mayat pelajar Singapura tergelincir di Gunung Stong ditemui

Mayat pelajar Singapura tergelincir di Gunung Stong ditemui

Written By kelantan post on Sunday, 29 December 2013 | 22:16


KUALA KRAI - Mayat pelajar Universiti Kebangsaan Singapura yang hilang selepas tergelincir dari tebing Gunung Stong, Dabong, Kuala Krai, malam tadi, ditemui pasukan penyelamat hari ini.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli Penolong Penguasa Bomba Soleh Nasir berkata pasukan mencari dan menyelamat menemui mayat Lee Jun Jie, 23, pada 9.50 pagi di dalam sebuah lubuk di kawasan Air Terjun Stong, kira-kira 100 meter dari Kem Baha yang dijadikan tempat perkhemahan mangsa bersama 22 lagi rakannya.

Mayat dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat, katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Dalam kejadian itu, Lee, yang sedang melihat pemandangan waktu senja semasa berhenti untuk berkhemah di Kem Baha, tergelincir dari tebing disebabkan keadaan tanah yang licin akibat musim hujan lalu terjatuh ke dalam Air Terjun Stong.

Mangsa bersama rakan-rakannya tiba di Dabong, Kuala Krai petang semalam dengan menaiki kereta api, dan mendaki Gunung Stong untuk berkhemah di situ.

Lapan belas anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Jeli dan Kuala Krai serta polis (10), Jabatan Pertahanan Awam (7), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (7) dan Renjer Hutan (3) terlibat dalam operasi mencari mangsa.

Gunung Stong mempunyai ketinggian 1,422 meter dan Air Terjun Jelawang yang terletak di gunung tersebut merupakan yang tertinggi di Asia Tenggara.

Kem Baha terletak kira-kira 400 meter dari kaki Gunung Stong merupakan kem pertama yang perlu disinggahi pendaki sebelum meneruskan pendakian ke Puncak Ayam yang terletak di Gunung Stong. - Bernama

Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. IRDK News - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger