Home » » Kelantan peruntuk RM300,000 persediaan banjir

Kelantan peruntuk RM300,000 persediaan banjir

Written By kelantan post on Wednesday, 4 December 2013 | 07:40


KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan memperuntuk RM300,000 sebagai persediaan menghadapi banjir di negeri itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana negeri Datuk Dr Zainuddin Ibrahim.

Beliau berkata pihaknya sudah bersedia membantu mangsa banjir di negeri ini.

"Kita juga memastikan bekalan makanan serta pusat pemindahan banjir sentiasa lengkap dan bersedia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kecemerlangan Organisasi Melalui Amalan Pengurusan 'Lean' Bersempena Hari Bersama Industri Perbadanan Produktiviti Malaysia Wilayah Pantai Timur hari ini.

Dr Zainuddin, yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, berkata kerjasama antara semua agensi perlu dipertingkat dalam memastikan keselamatan rakyat negeri ini ketika berdepan bencana itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia Ahmad Fadzil Mahmud berkata seminar itu dianjur bagi menghapuskan pembaziran sama ada dari sudut masa menunggu, terlebih proses, tiada kawalan bekalan atau pengurusan inventori.

"Pembaziran bukan sahaja dari sudut duit tetapi juga masa dan proses pelaksanaan, sebab itu kita nak perkenalkan 'lean' untuk perkukuh kerja-kerja pengurusan," katanya sambil menambah konsep itu akan dilaksana di Hospital Universiti Sains Malaysia pada awal tahun depan.

Contoh kejayaan projek pengurusan 'lean' ialah di Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan, Pahang yang menyaksikan proses permohonan pembangunan tanah bagi kelulusan pentadbiran tanah berjaya dikurangkan daripada 45 hari kepada tujuh hari.

Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. IRDK News - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger