Home » » Berjalan dengan pisau tercacak di leher sebelum maut

Berjalan dengan pisau tercacak di leher sebelum maut

Written By kelantan post on Thursday, 5 December 2013 | 12:20


Bintulu: Seorang pembantu gerai menjual pakaian dipercayai sempat berjalan 20 meter untuk meminta tolong dengan sebilah pisau pemotong sayur masih tercacak di lehernya sebelum dia rebah dan meninggal dunia di tapak Pesta Makanan 1Malaysia di Dataran Espalanade di sini, semalam.

Remaja lelaki berusia 18 tahun yang dikenali sebagai Wan Akmal Rizan Wan Ramzi, itu ditemui terbaring tidak jauh dari gerai tempatnya bekerja berlumuran darah oleh orang ramai jam 3.40 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bintulu Deputi Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, berdasarkan kesan titisan darah di tempat kejadian, mangsa dipercayai sempat berjalan selepas ditikam di leher oleh penyerangnya.

Katanya, berdasarkan siasatan awal di tempat mayat ditemui, besar kemungkinan mangsa ditikam di gerai tempat dia bekerja atau tidak jauh dari situ.

“Ketika ditemui orang ramai, mangsa meninggal dunia kerana mengalami kecederaan parah dengan sebilah pisau pemotong sayur masih tertusuk di lehernya.

“Dengan bantuan anjing pengesan, polis menjejaki tempat yang dipercayai mangsa ditikam penyerangnya berdasarkan kesan titisan darah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, mangsa dikatakan tidur di gerai menjual pakaian milik majikannya bersama seorang rakan sekerja berusia 25 tahun.

“Tiada sebarang kesan pergelutan di tempat mangsa ditemui dan siasatan di khemah gerai jualan tempat dia bekerja juga tidak mempunyai kesan pergelutan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, polis menahan rakan sekerja mangsa bagi membantu siasatan kes yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Difahamkan, mangsa baru saja selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berasal dari Betong.

Mangsa bekerja di gerai jualan pakaian di situ sempena Pesta Makanan 1Malaysia anjuran Persatuan Penjaja Cina Bahagian Bintulu yang berlangsung dari 15 November hingga 15 Disember ini.

Mayat dibawa ke Hospital Bintulu untuk bedah siasat dan polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu supaya tampil membantu siasatan.

Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. IRDK News - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger