Home » » Pengurus “Nasi Ganja” di Ipoh nafi guna najis manusia

Pengurus “Nasi Ganja” di Ipoh nafi guna najis manusia

Written By kubigomofm on Saturday, 16 November 2013 | 18:23


Pengurus Restoran Nasi Kandar Ayam Merah di Jalan Yang Kalsom di Ipoh, hari ini menyangkal keras dakwaan restorannya ditutup susulan penemuan najis manusia di dalam peti simpanan makanan di premis itu.
Mohd Nihmatullah Syed Mustaffah berkata, perkara itu yang disebar menerusi laman sosial sejurus selepas notis penutupan dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan petang semalam, merupakan fitnah yang bertujuan menjejaskan perniagaannya.

"Adakah najis orang kita boleh masak? Kenapa cemburu selepas 55 tahun saya berniaga di sini," katanya.
Sambil menegaskan penutupan selama dua minggu sehingga 28 November itu atas faktor kebersihan, beliau berkata, pihak yang tidak bertanggungjawab mendakwa najis terbabit untuk disalut di sekeliling periuk.

"Kalau ada bukti (saya berbuat demikian) keluarkanlah," katanya dan menambah perbuatan tersebut turut menjejaskan imej Perak yang sinonim dengan nasi kandar restorannya yang dikenali sebagai 'nasi ganja'.
Katanya, ramai orang kenamaan termasuk menteri dari luar negara datang menjamu selera di restoran itu dan bayangkan apa perasaan mereka jika terbaca dakwaan berkenaan.

Mohd Nihmatullah, 59, berkata, hanya restorannya ditutup manakala Restoran Vanggey di Greentown yang turut menjual nasi kandar beroperasi seperti biasa. “Restoran Vanggey juga milik keluarga saya,” katanya.
Beliau berkata, restorannya dijangka beroperasi semula Ahad atau Isnin ini selepas Jabatan Kesihatan melakukan pemeriksaan susulan.

Restoran terbabit diarah tutup selama dua minggu bermula semalam kerana gagal mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan. Notis perintah tutup premis yang dikeluarkan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Daerah Kinta, Abdul Rahman Ismail, dibuat mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983. - Bernama, 15 November, 2013.

Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. IRDK News - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger