Home » » Pelantikan Annuar sebagai anggota JPPBSN sah: MSN

Pelantikan Annuar sebagai anggota JPPBSN sah: MSN

Written By kubigomofm on Sunday, 24 November 2013 | 10:14


MAJLIS Sukan Negara (MSN) semalam, menyangkal dakwaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bahawa pelantikan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa selaku anggota Jawatankuasa Program Pembangunan Bola Sepak Negara tidak sah.

Ini kerana, menurut FAM, Annuar masih dalam tempoh penggantungan.

Dalam satu kenyataan kepada media, MSN berkata, pihaknya telah pun merujuk status Annuar yang digantung oleh FAM sehingga 4 Oktober 2014 kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan yang berpandangan secara dasarnya, beliau boleh dilantik sebagai ahli jawatankuasa Program Pembangunan Bola Sepak Negara sepertimana yang dicadangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Menurut MSN, pelantikan tersebut dianggap sah dan tidak bercanggah dari segi perundangan ekoran penggantungan Annuar yang didapati bersalah melanggar Artikel 88 FAM, sebelum ini.

"Merujuk kepada perkara di atas, pihak MSN selaku sekretariat Jawatankuasa Program Pembangunan Bola Sepak Negara, ingin memaklumkan bahawa pelantikan Annuar selaku ahli jawatankuasa program berkenaan, adalah dianggap sah dan tidak bercanggah dari segi perundangan ekoran penggantungan beliau yang didapati bersalah melanggar Artikel 88 FAM, sebelum ini.

"Ini berdasarkan kepada penggantungan terhadap Annuar adalah di bawah peruntukan perlembagaan atau statut FAM sendiri dan bukannya Akta Pembangunan Sukan (APS) 1997. Peruntukan Seksyen 25 APS 1997 tidak terpakai kepada Annuar kerana peruntukan ini adalah berkenaan akibat tindakan penggantungan atau pembatalan yang dikenakan oleh Pesuruhjaya Sukan ke atas badan sukan atau mana-mana orang dan bukannya oleh FAM.

"Status Annuar juga dianggap sah kerana kuasa untuk melantik mana-mana orang sebagai ahli dalam apa-apa jawatankuasa yang difikirkan perlu adalah kuasa yang diperuntukkan oleh APS 1997 kepada Menteri Sukan," katanya.

Kenyataan itu juga menyebut pemilihan Annuar dalam memegang jawatan itu disebabkan pengalaman luas yang dimilikinya serta mempunyai idea-idea bernas dalam arena bola sepak tanah air.

"Sebagai makluman, Annuar mempunyai pengalaman yang luas dan idea-idea bernas dalam arena bola sepak tanah air dan pelantikannya adalah berdasarkan kepada merit berkenaan untuk membantu jawatankuasa merancang, merangka dan melaksanakan aktiviti-aktiviti pembangunan bola sepak negara.

"Jawatankuasa juga berperanan sebagai platform setiap ahli memberikan cadangan dan pendapat bagi menambah baik perancangan pembangunan bola sepak negara khususnya membabitkan pemain berumur dari tujuh hingga 17 tahun," katanya.

Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. IRDK News - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger