Home » » "Hantu Tok Mudim" angkat budaya berkhatan tradisional

"Hantu Tok Mudim" angkat budaya berkhatan tradisional

Written By kubigomofm on Wednesday, 20 November 2013 | 21:51


Pengarah filem "Hantu Tok Mudim", Wan Hafiz menyatakan bahawa dia mahu memberi kelainan pada filem komedi-seram arahan sulungnya dengan mengangkat proses berkhatan oleh 'Tok Mudim'.

Menurut Hafiz, dia mengambil keputusan untuk menghasilkan filem yang mengangkat tema berkhatan kerana ia jarang diketengahkan dengan memasukkan elemen komedi dan seram dalam penceritaannya.

"Kisah mengenai berkhatan merupakan lagenda di kalangan golongan lelaki dan itu yang saya cuba kongsikan bersama penonton dalam bentuk fiksyen dan bukannya mahu menakutkan kanak-kanak yang belum berkhatan," katanya yang ditemui pada majlis pratonton filem "Hantu Tok Mudim" di Cathay Cineplex, ECurve Mutiara Damansara, semalam.

Menurut Hafiz, dia yakin bahawa kanak-kanak zaman ini sudah lebih terbuka mengenai perkara tersebut dan ia hanya untuk hiburan semata-mata, namun pada masa sama ia turut memaparkan mengenai budaya berkhatan secara tradisional.

Dalam pada itu, Hafiz berkata, dia juga banyak merombak skrip untuk memastikan jalan cerita yang ditampilkan kemas dan mampu membuat penonton ketawa, malah skripnya juga sarat dengan 'double meaning'.

"Saya mahu bermain dengan emosi penonton dan membiarkan mereka membuat tafsiran terhadap skrip yang disampaikan oleh pelakon. Walaupun saya sengaja masukkan elemen 'double meaning' tetapi maksudnya boleh menjadi berbeza-beza dan itulah kelainan yang saya tampilkan."

Filem terbitan Showbiz Production ini dibintangi oleh pelakon hebat seperti Izzue Islam, AR Badul, Harun Salim Bachik dan Adrea Abdullah.

"Hantu Tok Mudim" bakal menemui penonton pada 21 November 2013.

Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. IRDK News - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger