Home » » Artis-artis yang kahwin secara rahsia

Artis-artis yang kahwin secara rahsia

Written By kubigomofm on Saturday, 16 November 2013 | 18:47


Dunia hiburan tempatan kecoh dengan berita perkahwinan rahsia antara Wawa Zainal dan Aeril Zafril. Ramai yang menyatakan bahawa mereka rasa tertipu dan mempersoalkan niat pasangan tersebut.
Tapi tahukah anda, ini bukan kali pertama artis berkahwin secara rahsia?

Janet Jackson & Wissam Al Mana

Khabar angin tentang rancangan perkahwinan antara penyanyi terkemuka dengan hartawan Qatar ini terus menghiasi muka depan majalah gosip.

Namun begitu, Janet Jackson membuat penafian yang mengejutkan ramai dalam "Entertainment Tonight" Februari lalu dengan berkata, "Semua khabar angin tentang perkahwinan gilang-gemilang itu tidak benar. Kami dah pun berkahwin tahun lalu dalam majlis yang sederhana."

Lee Ji-ah & Seo Tai-ji

Dunia hiburan Korea dikejutkan dengan berita tentang perkahwinan rahsia antara legenda K-pop Seo Tai-ji dan bintang "Athena", Lee Ji-ah apabila kes perceraian mereka terbongkar. Lee Ji-ah, yang ketika itu sedang bercinta dengan Jung Woo-sung, rupa-rupanya telah mengahwini Seo pada tahun 1997 di Amerika Syarikat ketika dia belum memasuki dunia hiburan. Mereka terus bersama sehingga mereka berpisah pada tahun 2006 dan Seo kembali ke Korea untuk memulakan kerjaya solonya. Kes perceraian mereka berterusan sejak itu.

Bukan sahaja para peminat tidak tahu, malah rakan-rakan terdekat bekas pasangan ini juga tidak arif tentang perkahwinan yang bertahan selama 14 tahun itu, sehinggalah kes perceraian mereka dibongkar media.

Wu Chun & Lin Liying

Pelakon, penyanyi dan bekas anggota Fahrenheit kelahiran Brunei ini mengejutkan ramai pada September lalu apabila dia membuat pengakuan yang dia telah pun berkahwin selama tiga tahun dengan teman wanita yang dikenalinya sejak dia berusia 16 tahun.

Bukan itu sahaja, malah Wu Chun mematahkan hati ramai peminat wanita apabila memberitahu yang dia dan isteri sudah pun memiliki seorang anak perempuan yang berusia dua tahun dan Liying sedang hamil anak lelaki mereka (yang dilahirkan pada 11 Oktober lalu).

Jelas Wu Chun, dia menyembunyikan hakikat tersebut sebagai menghormati kehendak isterinya yang tidak mahu menjadi perhatian umum apatah lagi dengan popularitinya sebagai bintang.

Mas Idayu & Aman Graseka

Tiada siapa yang tahu bila perkahwinan mereka telah diadakan. Malah, sehingga kini, selepas bercerai dengan pelakon "Cinta Kita" itu, penyanyi dangdut Mas Idayu masih enggan menjelaskan kisah cinta mereka dan mengapa mereka berpisah selepas 10 tahun berkahwin secara rahsia.

Jelas Ayu, dia tidak mahu kisah peribadinya menjadi perbualan ramai dan dia punya alasan tersendiri mengapa dia tidak mahu bercerita. Namun begitu, hasil perkahwinan mereka, Ayu dan Aman dikurniakan seorang anak bernama Dayini.

Aamir Khan & Reena Dutta

Aamir sudah pun berkahwin dengan kekasihnya yang juga teman sejak kecilnya, Reena Dutta pada tahun 1986. Namun begitu, demi mencapai cita-citanya untuk menjadi bintang, Aamir dan Reena sama-sama bersetuju untuk merahsiakan perkahwinan mereka.

Namun akhirnya, mereka berpisah jua selepas hampir dua dekad mendirikan rumah tangga pada tahun 2002, dan Aamir kemudiannya mengahwini pengarah dan penulis lakon layar Kiran Rao pada tahun 2005.
Namun begitu, hasil perkahwinan mereka selama 16 tahun itu, mereka dikurniakan dua orang anak, Junaid dan Ira yang kini dibesarkan oleh Reena.

Jae Hee

Bintang "My Girl" ini mengejutkan ramai apabila dia mengesahkan yang dia sudah pun berkahwin pada tahun 2010 dengan seorang wanita bukan selebriti, malah sudah memiliki seorang anak lelaki.

Bila dituduh cuba menipu peminat, Jae Hee membela diri dan berkata dia tidak berniat untuk berahsia tetapi dia tidak menemui masa yang sesuai untuk memberitahu hal tersebut, apatah lagi dia lebih suka kisah peribadinya kekal peribadi. Untuk membuktikan yang ia bukan rahsia, Jae Hee menjelaskan pendaftaran perkahwinannya berada dalam simpanan pejabat majlis daerahnya.

Kim Kardashian & Damon Thomas

Bukan sahaja perkahwinan pertamanya pada tahun 2000 tidak diketahui umum, malah keluarganya sendiri. Kim mengahwini penerbit muzik Damon Thomas di usia 19 tahun secara rahsia dan terus berpindah ke tempat lain tanpa pengetahuan keluarga.

Malah ibunya Kris turut membantu Kim membeli barang-barang keperluan untuk rumah barunya di Northridge tanpa bertanya mengapa anaknya itu tinggal di sana, atau mengapa Kim kini memandu sebuah kereta Jaguar baru. Mereka hanya dapat tahu tentang perkahwinan Kim daripada Kourtney, itu pun selepas Kourtney cuba membuat carian di Internet dan menemui sijil perkahwinan tersebut. Namun begitu, mereka berpisah tiga tahun kemudian.

Andy Lau & Carol Chu

Hubungan antara Andy Lau dan seorang gadis bernama Carol Chu dari Malaysia memang seringkali menjadi khabar angin yang berterusan dalam tabloid Hong Kong. Andy tidak pernah mengakui yang dia mempunyai teman wanita, malah terus menekankan yang dia masih bujang.

Apabila bapa Carol meninggal dunia pada tahun 2009, Andy cuba seboleh-bolehnya mengelak dari lensa kamera media dan orang awam kerana tidak mahu kehadirannya menjadi buah mulut orang.

Namun begitu, pada tahun 2010, pihak media Hong Kong berjaya menemui rekod perkahwinan Andy dan Carol dan pelakon "Blind Detective" terpaksa membuat pengakuan yang dia sudah pun mengahwini teman wanitanya itu dua tahun sebelumnya di Las Vegas. Namun ia tidak mengubah pendirian Andy tentang kehidupan peribadinya sehinggakan media dihalang dari menangkap gambar anak perempuan sulungnya, Hanna yang lahir tahun lalu.

Eja & Silahuddin 

Bukan Mas Idayu sahaja yang berjaya menyembunyikan perkahwinannya, malah pelakon drama paling popular era milenium, Siti Shahrizah atau lebih popular dengan nama Eja ini pula berjaya merahsiakan perkahwinannya begitu lama, sehinggalah dia terpaksa mengakuinya selepas kandungan lima bulannya sudah tidak dapat dilindungi lagi dari perhatian umum.

Eja memberitahu media bahawa dia sudah pun berkahwin selama sepuluh tahun dengan ahli korporat bernama Mohd Silahuddin Jamaluddin. Dalam masa yang sama, Eja juga menafikan bahawa dia mengahwini Silahudin selepas menjadi punca perceraian lelaki itu dengan isteri pertamanya.

Charlene Choi & Ronald Cheng

Paparazi Hong Kong memang hebat dalam bab membongkar rahsia para artisnya, dan begitu juga yang berlaku pada ahli duo Twins, Charlene Choi yang didapati pernah mengahwini pelakon dan penyanyi Ronald Cheng di Los Angeles pada tahun 2006.

Dalam sidang media yang diadakan oleh kedua-dua bintang tersebut, Charlene dan Ronald mengesahkan yang mereka memang sudah berumah tangga, dan dalam masa yang sama mengejutkan ramai sekali lagi dengan mengumumkan yang mereka sedang dalam proses perceraian.

Kini kedua-duanya sudah menemui kebahagiaan yang baru. Charlene kini bercinta dengan pelakon "Triad", William Chan dan Ronald pula sudah selamat berumah tangga buat kali kedua dengan penyiar, Sammi Yu dan memiliki seorang anak bernama Emma.

Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. IRDK News - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger