Home » » Piala Malaysia: PKNS FC kalahkan JDT

Piala Malaysia: PKNS FC kalahkan JDT

Written By kelantan post on Tuesday, 20 August 2013 | 23:05


PKNS FC memulakan kempen Piala Malaysia 2013 dengan penuh bergaya apabila mengatasi Johor Darul Takzim (JDT) 2-0 pada perlawanan pembukaan Kumpulan B  di Stadium Shah Alam, malam ini.

Bagi PKNS,  kemenangan ini pasti menyenangkan Abdul Rahman Ibrahim yang mahu mencatat keputusaan positif saingan pembukaan di laman sendiri musim ini.

Dalam perlawanan itu, JDT yang membariskan pemain bertaraf bintang terlebih dahulu melancarkan percubaan namun berjaya dipatahkan benteng pertahanan tuan rumah.

Tiga minit kemudian, gawang PKNS sekali lagi diuji dan percubaan yang dilakukan pemain JDT itu juga berjaya dikekang pemain tuan rumah.

Tersentak dengan asakan pemain JDT, PKNS mula melancarkan serangan dan pasukan itu memiliki peluang keemasan untuk mendahului lawan.

Bagaimanapun, kegopohan pemain tuan rumah menyelamatkan seketika gawang JDT.

Selepas itu, penantian PKNS untuk mencari gol awal akhirnya menjelma apabila pemain importnya, Patrick Ronaldinho menjaringkan gol pertama buat pasukan tuan rumah pada minit ke-16.

Terkejut dengan gol awal PKNS, JDT berusaha mengasak lawan dengan beberapa percubaan, tetapi ia tetap gagal untuk membolosi gawang lawan.

JDT terus memiliki peluang untuk menyamakan kedudukan selepas mendapat sepakan percuma pada minit ke-32, namun percubaan yang dilakukan Nunez diluar kotak penalti berjaya ditampan kemas penjaga gol PKNS, Mohd Remezy dan keputusan kekal sehingga separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, tempo permainan agak pantas dan kedua pasukan saling mengasak dan berbalas serangan.

JDT yang terdesak mencari gol terus kempunan untuk membolosi gawang lawan apabila pertahanan yang kental dilakukan pemain PKNS berjaya menyekat peluang pasukan pelawat.

Selepas itu, keghairahan JDT memburu gol penyamaan akhirnya membawa padah apabila gawangnya sekali lagi dibolosi PKNS hasil jaringan Patrick pada minit ke-56.

Gol tersebut nyata mengecewakan penyokong setia JDT yang turun memberi sokongan di stadium malam ini.

Setelah dikejutkan dengan gol kedua PKNS, JDT sekali lagi diundang kekecewaan apabila Muhd Al Hafiz pula dilayangkan kad kuning selepas pengadil perlawanan Shamsudin Ibrahim menyedari pemain itu menangkap bola di luar kotak penalti pada minit ke-61.

Bagaimanapun itu tidak mematahkan semangat anak buah Azmi Mohamad untuk mencari gol namun semua percubaan yang dilakukan juga tidak membuahkan hasil.

Akhirnya misi Skuad Harimau Selatan untuk mencari tiga mata penuh tidak kesampaian setelah keputusan itu kekal sehingga ke wisel penamat.

Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. IRDK News - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger